Pasangan warga emas maut dalam kebakaran 'pelik'


PASANGAN
warga emas maut dalam kebakaran yang boleh dianggap 'pelik' di Apartmen Taman Meru Impiana, Ipoh awal pagi semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam jam 3.40 pagi dan bertindak mengejarkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya ke tempat kejadian.

Memetik laporan BH Online, mangsa dikenalpasti sebagai Kamal Mustafa, seorang warga Mesir dan isterinya, Kamariah Talib seorang warga tempatan.

Kedua-dua mereka dianggarkan berusia dalam ingkungan umur 70-an.

Apa yang pelik adalah kenyataan Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz dalam laporan yang disiar itu.

A Asmadi berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati lelaki berkenaan ada keluar dari apartment itu dengan menaiki kereta jenis Proton Suprima.

Katanya, hasil penelitian CCTV juga mendapati lelaki itu kemudiannya masuk semula ke dalam apartment dengan berjalan dan membawa dua tong dipercayai berisi bahan bakar.

"Siasatan di dalam rumah menemui dua tong gas di ruang tamu yang sepatutnya berada di dapur.

“Kereta mangsa pula ditemui dalam keadaan hangus terbakar kira-kira 500 meter dari apartment berkenaan dan polis masih menyiasat punca serta motif kejadian,” katanya dipetik laporan itu.

Sinar dalam laporannya pula berkata terdapat kesan letupan sebelum berlaku kebakaran yang memusnahkan 90 peratus rumah serta mengorbankan mangsa.

Seorang mangsa ditemui tertiarap di bahagian ruang tamu serta koridor dalam rumah berkenaan dipercayai cuba menyelamatkan diri manakala seorang lagi ditemui berhampiran bilik air.

difahamkan, kes itu hanya akan diklasifikasikan selepas siasatan dari setiap aspek selesai dilakukan.

Post a Comment

0 Comments