KONVOI bermotosikal disertai sekumpulan rakan ke Cameron Highlands semalam bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut.
Dalam kemalangan kira-kira jam 12 tengah hari itu, Rahmat Abdul Ghani, 36, maut setelah terbabit kemalangan di Kilometer 27 Jalan Sungai Koyan- Cameron Highlands. Lipis.
Difahamkan, Rahmat merupakan seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mahmud, Raub.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Kamarulzaman Jusoh@Mohamad Daud berkata, mangsa dari Taman Amalina Saujana Raub menunggang motosikal jenis Honda RS 150.
Menurutnya, mangsa berkonvoi bersama lapan rakan yang lain dipercayai untuk pusat peranginan tanah tinggi itu sempena cuti hujung minggu.
"Ketika tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas ke kiri dan melanggar besi penghadang jalan.
"Kejadian itu disedari rakan dan mereka berhenti untuk menghulurkan bantuan selepas melihat mangsa dalam keadaan terbaring. katanya.
Rahmat dilapor terbunuh di tempat kejadian.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat sebelum jenazah dituntut keluarga untuk urusan pengebumian" tambah Kamarulzaman lagi.