HUKUMAN mati terhadap 'doktor ganja' atau nama sebenarnya Muhammad Lukman Mohamad oleh mahkamah tinggi Shah Alam sebelum ini dikekalkan.
Keputusan itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Hakim Yaacob Md Sam di Mahkamah Rayuan di Putrajaya sebentar tadi.
Muhammad Lukman bersalah atas tiga pertuduhan mengedar 3,010 mililiter delta 9 tetrahydrocannabinol (ekstrak kanabis), 1,422 gram delta 9 tetrahydrocannabinol dan 279.81 gram kanabis pada Ogos tahun lalu.
Dia sebelum ini dibicarakan dibawah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. Tertuduh mendakwa dia menggunakan ganja sebagai medium perubatan.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad mengesa semakan semula kes Muhammad Lukman yang memiliki, memproses dan mengedarkan ganja untuk tujuan perubatan.
Malah gesaan itu senada dengan Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar mahu Peguam Negara Thommy Thomas bagi mendapatkan pengampunan berdasarkan merit kes tersebut.
Nurul berhujah, ganja semakin diterima di banyak negara sebagai tumbuhan yang mempunyai banyak faedah, terutamanya dalam rawatan pelbagai penyakit kronik.
Sebagai rekod, Thailand baru-baru ini meluluskan ganja untuk penggunaan penyelidikan dan perubatan,
Sementara itu, Peguam bela Hisyam Teh Poh Teik ketika ditemui di luar mahkamah berkata pihaknya akan membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan.
"Mahkamah hari ini juga membenarkan pihak pembelaan untuk membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan.
"Kami akan membuat rayuan," katanya.
Lukman, 30 tahun bapa kepada seorang anak dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Bandar Mahkota, Banting pada 6.45 petang 7 Disember 2015.
0 Comments