Isytihar harta: Ahli parlimen diberi masa hingga 5 December


SEMUA
222 Ahli Parlimen diberikan masa sehingga 5 Disember ini untuk mengisytiharkan harta sendiri, pasangan dan anak dewasa mereka serta pemegang amanah dalam Akuan Berkanun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, akuan itu perlu dikemukakan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan salinannya diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Liew sebelumnya membacakan semula usul yang diluluskan Dewan Rakyat pada Julai yang mewajibkan semua ahli Parlimen mengisytiharkan harta mereka. tegasnya keputusan itu dibuat sejajar prinsip akauntabiliti dan ketelusan seperti yang sedang diusahakan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN)

Di bawah usul itu, Ahli Parlimen yang didapati membuat pengisytiharan palsu akan didakwa di bawah Seksyen 199 Kanun Keseksaan.

Mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 193 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 3 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

SPRM baru-baru ini dalam kenyataan berkata, mereka masih menunggu salinan pengisytiharan harta daripada beberapa Ahli Parlimen pembangkang.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Shamsun Baharin Mohd Jamil berkata ahli parlimen perlu mengisytiharkan aset mereka melalui akuan bersumpah kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

BACA:
SPRM masih tunggu ahli parlimen pembangkang isytihar harta
 
Ahli Parlimen pada mulanya diberikan masa sehingga 1 Oktober lalu untuk mengisytiharkan harta mereka, tetapi Liew berkata, tempoh itu dilanjutkan ke 5 Disember ini.

Ahli Parlimen yang gagal mengisytiharkan harta mereka akan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Post a Comment

0 Comments