Bilik pelajar Maahad Tahfiz terbakar


PELAJAR sebuah Maahad Tahfiz di Rantau Panjang gempar apabila sebuah bilik tingkat dua bangunan asrama pusat pengajian itu terbakar.

Tiada kemalangan jiwa dilapor dalam kejadian kira-kira 2.30 petang semalam itu, Kesemua 75 pelajar lelaki terbabit difahamkan berada di masjid berdekatan bagi menunaikan solat Zohor.

Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Mas, Adnan Muhammad Juri, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.43 petang dan tiba di lokasi 10 minit kemudian.

"Bagi memadamkan kebakaran, seramai 12 anggota terlibat dalam operasi pemadaman membabitkan BBP Pasir Mas dan Rantau Panjang.

"(Susulan) tindakan pantas anggota, kebakaran dapat dikawal daripada merebak ke bilik asrama yang lain. Api dapat dikawal sepenuhnya antara 5 hingga 10 minit," katanya.

Sementara itu, Ahmad Faizul Nizamudin, guru pusat pengajian itu yang juga saksi kejadian berkata, ketika mahu pergi ke masjid beliau ternampak percikan api dari tingkat dua bangunan asrama.

“Saya kemudian terus memberitahu perkara itu kepada seorang lagi tenaga pengajar yang kemudian menghubungi bomba untuk tindakan lanjut,” katanya dipetik.