Bekas rakan dakwa Zahid arah tandatangan cek kosong


AHLI Parlimen Bagan Datuk, Ahmad Zahid Hamidi didakwa membuat arahan kepada seorang ahli lembaga pemegang amanah Yayasan Akalbudi agar menandatangani 'cek kosong' atas nama yayasan itu.

Perkara itu didedahkan bekas ahli lembaga pemegang amanah yayasan itu, Mohd Samsuri Tun, 66, semasa prosiding kes pecah amanah oleh bekas timbalan perdana Menteri itu di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur siang tadi.

Tambah Mohd Samsuri, Zahid ketika membuat arahan itu tidak menjelaskan tujuan cek itu perlu dikeluarkan.

"Sepanjang masa saya menjadi ahli lembaga pemegang amanah Yayasan Akalbudi, saya telah menandatangani cek-cek daripada yayasan itu secara pratandatangan, namun saya tidak tahu apa kegunaan cek tersebut.

"Cek-cek yang saya tandatangani ada cek kosong," katanya semasa membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan hari kedua kes membabitkan presiden Umno itu.

Zahid berdepan 47 pertuduhan jenayah melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran dalam ucapan pembukaannya di Mahkamah semalam mendedahkan bahawa tiada satu sen pun dana yayasan itu digunakan bagi membantu golongan miskin.

BACA:
TPR dakwa Zahid bayar roadtax guna dana orang miskin 

Mohd Samsuri, yang juga bekas pengarah Yayasan Akalbudi berkata beliau tidak pernah terlibat dengan apa-apa aktiviti atas nama yayasan itu dan tidak pernah membincangkan mengenai aktiviti yang dilaksanakan oleh yayasan tersebut dengan Ahmad Zahid.

Kepada soalan Ahmad Zaidi adakah saksi itu tahu tujuan asal penubuhan Yayasan Akalbudi adalah untuk amal jariah bagi membantu masyarakat, Mohd Samsuri menjawab: "Saya kurang pasti kerana sepanjang pengetahuan saya, yayasan ditubuhkan untuk mengutip dana bagi kegunaan Umno terutamanya kawasan Bagan Datuk dan untuk karier politik Ahmad Zahid.

Sebagai rekod, Mohd Samsuri merupakan rakan persekolahan dan turut menuntut di universiti sama dengan Ahmad Zahid, pada April 2012 beliau diarah  menandatangani surat peletakan jawatannya sebagai pengarah Yayasan Akalbudi oleh Ahmad Zahid sendiri.

Post a Comment

0 Comments