Tun M jangan calar kepercayaan rakyat - Otai Reformis


PENGERUSI
Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohammad wajar mengotakan janji peralihan kuasa yang diuar-uarkan sebelum ini dalam kadar segera.

Sebuah pertubuhan yang menamakan diri mereka sebagai Otai Reformis 98 berkata, rakyat sedang menilai tindak-tanduk Dr Mahathir terhadap janji untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti dimenterai dalam mesyuarat Majlis Presiden HARAPAN sebelum PRU 14 lalu.

“Sekiranya janji Mahathir ini tidak ditepati maka kita yakin rakyat teramai akan hilang keyakinan.

"Ia bukan sahaja terhadap tahap kebolehpercayaan mereka kepada kata-kata dan janji-janji Mahathir tetapi juga terhadap kewibawaan pemimpin HARAPAN secara keseluruhannya,” kata Pengerusinya Idris Ahmad dalam kenyataan.

Pendirian Otai Reformis itu dibuat bagi mengulas kenyataan Mahathir di New York, Amerika Syarikat baru-baru ini yang membayangkan beliau mahu terus menjadi Perdana Menteri untuk tempoh 3 tahun lagi.

Bawah perjanjian tersebut, Mahathir perlu menyerahkan kuasa kepada Anwar, pilihan pertama sebahagian besar parti komponen. Kenyataan dibuatnya baru-baru ini dilihat bertentangan dengan janji tersebut.

"Alasan mengatakan bahawa beliau hanya akan melepaskan jawatan setelah Negara keluar dari hutang untuk memulihkan keadaan ekonomi Negara merupakan ‘retorik politik’ untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri.

"Otai ingin menekankan, kita khuatir bahawa ekonomi kita akan berada dalam keadaan tidak menentu ekoran pelabur asing merasa was-was terhadap senario yang tidak kondusif ini.

"Sekiranya keadaan ini berterusan maka ianya tidak baik untuk Negara kita kerana kebelakangan ini Pelabur asing telah mula menutup operasi mereka di Negara kita dan mula berpindah ke Vietnam dan negara-negara jiran kita," tambah kenyataan itu lagi.

Sebagai rekod, PRU-15 dijadualkan berlangsung pada 2023.


Walaupun Dr Mahathir berulang kali menyuarakan kesediaan menyerahkan kuasa kepada Anwar, namun tempoh masa peralihan kuasa itu masih menjadi tanda tanya.

Seorang bekas aktivis pelajar, Syukri Razab dalam satu kenyataanya baru-baru ini mendakwa kesukaran Dr Mahathir menetapkan tempoh bagi peralihan kuasa itu mungkin berpunca dari sikap pengampu disekeliling perdana menteri itu sendiri yang enggan pentadbiran negara bertukar tangan.

Post a Comment

0 Comments