Saksi percaya Najib cuba sekat maklumat sulit



JHO LOW
didakwa telah memberi butiran isi kandungan surat bagi tujuan ‘ melindungi’ Datuk Seri Najib Tun Razak daripada risiko politik.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Shahrol Azral Ibrahim Halmi,49, membuat pendedahan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

Memetik laporan Sinar, beliau mendedahkan antara 2009 dan 2010 telah menandatangani beberapa surat. Ia termasuk surat kepada Najib yang ketika itu adalah Perdana Menteri.

Tambahnya, tujuan surat itu adalah bagi mengelak daripada memberikan maklumat sulit mengenai 1MDB kepada Jabatan Audit Negara.

Saksi pendakwaan kesembilan ketika memberi keterangan pada hari ke-21 perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM2.3 bilion milik 1MDB oleh Najib berkata, maklumat tersebut bagi tujuan penelitian terperinci syarikat itu dalam proses pengambilalihan Lembaga Pelaburan Terengganu Berhad (TIA) oleh 1MDB.

Beberapa daripada surat tersebut yang dialamatkan kepada Najib dalam kapasiti ketika itu sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan pemegang saham tunggal 1MDB selaku ketua Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF) Inc.

Tambahnya berdasarkan nota maklumat yang diberikan oleh Jho Low itu, beliau percaya ia arahan menyekat pemberian maklumat sulit datang daripada Najib.

Najib, 66, didakwa atas empat pertuduhan salah guna kedudukan sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Penasihat 1MDB untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion.

Pada 28 September 2018 Ahli Parlimen Pekan itu mengaku tidak bersalah atas 21 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima, memindahkan dan membayar jumlah sama hasil daripada aktiviti haram.

Post a Comment

0 Comments