EMPAT remaja lelaki yang menunggang basikal lajak yang diubahsuai tanpa kelengkapan brek ditahan pihak berkuasa polis petang semalam.
Memetik laporan Harian Metro, kesemua mereka ditahan di Taman Tasik Tambahan Ampang.
Bagaimanapun, tidak diketahui sama ada mereka adalah remaja yang terlibat dalam aksi lumba seperti ditularkan melalui rakaman video baru-baru ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, kesemua remaja tersebut berusia antara 11 hingga 15 tahun.
Sepasukan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya membuat serbuan keatas mereka.
“Mereka yang masih bersekolah ditahan dalam tugas pemantauan basikal lajak dijalankan BSPT IPD Ampang Jaya.
“Hasil pemeriksaan mendapati semua basikal mereka diubah suai dan tidak mempunyai ciri keselamatan seperti tiada sistem brek yang merupakan kesalahan mengikut Kaedah 42(1)(A) LN166/59,” katanya.
Difahamkan, susulan penahanan itu, kesemua remaja berkenaan dibawa ke BSPT Ampang Jaya. Basikal mereka turut disita mengikut Seksyen 112(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk tindakan lanjut.
Kesemua remaja terbabit dibebaskan selepas keterangan direkodkan. Polis merujuk kes itu ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
Ibu bapa kesemua remaja terbabut juga sudah dipanggil bagi diberi kaunseling dan amaran keras.
0 Comments