SEBANYAK RM13.9 bilion telah dibelanjakan kerajaan bagi melunaskan bayaran khidmat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC) sejak 2017.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam kenyataan berkata, kerajaan menerusi Kementerian Kewangan dan syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) juga terpaksa membuat pembayaran balik hutang sebanyak RM8.8 bilion bagi kedua-dua entiti tersebut.
Ia melibatkan sejumlah RM6.7 bilion untuk 2017 dan RM2.1 bilion pada 2018.
Sementara itu Setiausaha Agung DAP itu menjelaskan, pada 2019, kerajaan terpaksa membayar pula RM2.4 bilion bagi melunaskan hutang-hutang tersebut.
Bayaran itu bersumberkan antaranya dana awam, dana pemulihan aset 1MDB sebanyak kira-kira RM1.45 bilion yang berjaya dikembalikan serta kutipan derma orang ramai kepada Tabung Harapan Malaysia yang berjumlah RM203 juta.
"Seperti yang diumumkan dalam ucapan Belanjawan 2020 baru-baru ini, sejumlah RM2.7 bilion turut disediakan untuk 2020 bagi melunaskan bayaran khidmat hutang 1MDB dan SRC," katanya.
Skandal 1MDB dan SRC oleh pentadbiran sebelum ini telah menyebabkan negara berdepan masalah hutang.
Impak kewangan berkaitan dengan 1MDB atau yang bukan 1MDB dianggarkan kira-kira RM150 bilion dengan kes 1MDB sahaja melibatkan jumlah sebanyak RM51 bilion termasuk faedah yang hanya akan dilangsaikan sepenuhnya pada tahun 2039.
Jumlah keseluruhan pembiayaan bayaran hutan dari skandal kerajaan terdahulu itu tambah Guan Eng sedikit sebanyak telah menjejaskan usaha kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) menambahbaik program kebajikan untuk rakyat.
"Bagaimanapun, kerajaan ini akan tetap komited untuk menunaikan amanah menjalankan pembangunan dan kebajikan rakyat," jelasnya.
Dalam kenyataan serupa, Guan Eng turut mendedahkan bahawa pembayaran balik hutang-hutang 1MDB dan SRC tersebut telah disembunyikan oleh kerajaan terdahulu dan hanya didedahkan selepas kerajaan Persekutuan bertukar pada 9 Mei 2018.
"Jelas sekali, pembayaran balik kerajaan untuk membiayai kerugian akibat skandal 1MDB dan SRC adalah sebahagian daripada skim penyelewengan kewangan dan salahlaku 'kleptokrasi' kerajaan terdahulu," katanya lagi.
0 Comments