Peralihan kuasa: Anwar dan Tun M senada.


PERDANA MENTERI interim, Tun Dr Mahathir Mohammad dan bakal penggantinya membuat kenyataan hampir senada dalam isu peralihan kuasa perdana menteri.

Kenyataan itu dibuat ketika kekeliruan dikalangan rakyat berhubung isu itu memuncak ditambah sikap mengambil kesempatan di kalangan pembangkang dan beberapa pemimpin dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) yang menggesa Dr Mahathir membelakangi konsensus yang telah dipersetujui.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar yang dinamakan sebagai pengganti Dr Mahathir berkata, beliau tidak terburu-buru mahu peralihan itu dilaksanakan, namun tidak mempunyai kuasa untuk menghalang jika Majlis Presiden HARAPAN mahu membincangkannya.

Tegas Anwar, ada pihak cuba meremehkan proses itu walaupun ianya telah pun dipersetujui oleh semua pemimpin utama parti-parti HARAPAN.

"Masalahnya adalah apabila ada pihak yang cuba meremehkan proses (peralihan jawatan Perdana Menteri) ini. Pembangkang tidak menjadi gangguan kepada kita, malah tidak sepatutnya dibiarkan menjadi gangguan," tegasnya.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang sebelum ini menggesa Dr Mahathir kekal.

Gesaan itu bertentangan dengan pendiriannya sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) lalu yang tidak mahu Dr Mahathir diangkat menjadi perdana menteri.

Sementara itu, pandangan serupa turut disuarakan Dr Mahathir, beliau turut tidak mempunyai sebarang masalah jika isu yang telah disepakati itu mahu dibincangkan sekali, namun perbincangan tersebut perlu dilakukan dalam Majlis Presiden.

“Saya bersetuju kalau nak bercakap mengenai perkara itu (peralihan kuasa), kita boleh bercakap.

"Ia boleh dibincangkan dalam Majlis Presiden kerana di situ lah kita buat keputusan dulu.

“Cadangan untuk melantik pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN), kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan cadangan supaya saya jadi pengerusi dan bakal Perdana Menteri, semuanya dibuat dalam Majlis Presiden,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Baku, Azerbaijan.

Sementara itu, Anwar menegaskan,beliau berpandangan buat masa ini Kerajaan HARAPAN mempunyai tugas yang jauh lebih besar berbanding melayani isu yang cuba dihangatkan pembangkang itu.

Tegas Anwar fokus kepada pembangunan dan baik pulih ekonomi negara perlu diberi perhatian.

"Perkara ini tidak terlalu rumit kerana keputusan telah dibuat. Kalau HARAPAN nak bincang, tak ada masalah tetapi dalam masa yang sama kita kena fokus kepada ekonomi," tegas bakal pengganti Dr Mahathir itu lagi.

Post a Comment

0 Comments