Lemas ketika snorkeling di Pulau Poda


RAKYAT
Malaysia lemas ketika aktiviti snorkeling di Pulau Poda, Ao Nang, Wilayah Krabi, Thailand pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira 9 pagi (waktu tempatan), mangsa, Muhamad Hafizee Supie, 25, seorang juruteknik dari Ledang, Johor, difahamkan sedang melancong ke Pantai Ao Nang bersama rakan sekerjanya.

Pegawai Penyiasat Pejabat Polis Daerah Ao Nang, Kapten Nakorn Chartthai yang dipetik laporan Bernama berkata pasukan sukarelawan yang berada di tempat kejadian telah memberi bantuan pernafasan (CPR)  kepada Hafizee ketika diselamatkan namun gagal.

"Mangsa telah dikejarkan ke Hospital Krabi kira-kira 10 pagi dan disahkan meninggal dunia kira-kira 12.20 tengah hari (waktu tempatan)," katanya menurut laporan itu.

Difahamkan, jenazah ditempatkan di Hospital Krabi sementara usaha membawa pulag jenazah ke Malaysia dapat dijayakan.

Sementara itu, kakak tiri mangsa, Siti Saadiyah Ismail berkata anak kelima daripada enam adik-beradik itu merupakan seorang juruteknik di sebuah syarikat yang berpangkalan di Kuala Lumpur yang sedang mengikut rombongan syarikat tempatnya bekerja.

"Muhamad Hafizee mengikuti rombongan syarikat ke Krabi dengan menaiki bas pada Khamis dan dijangka pulang ke Malaysia pada Selasa.

"Kami dimaklumkan kejadian itu oleh rakan sekerjanya kira-kira 4 petang (waktu Malaysia)," katanya.

Tambah Siti Saadiyan, keluarga sedang berurusan dengan wakil Konsulat Malaysia di Songkhla untuk membawa balik jenazah Muhamad Hafizee ke Malaysia secepat mungkin.

Post a Comment

0 Comments