Langkawi kekal Global Geopark UNESCO


PULAU
Langkawi sekali lagi mengekalkan status Global Geopark buat kali ketiga apabila dianugerahkan kad hijau oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Ketua Pegawai Eksekutif Langkawi (LADA) Dr Hezri Adnan berkata pihaknya telah dimaklumkan mengenai keputusan tersebut oleh UNESCO Global Geopark kira-kira seminggu lalu.

Penganugerah itu difahamkan diperolehi dari proses  revalidasi Langkawi UNESCO Global Geopark (LUGGp) yang dijalankan denga giat sejak Ogos lepas.

"Kita baru terima keputusan tidak rasmi daripada UNESCO Global Geopark menerusi pekeliling dan turut dipaparkan di laman web mereka yang Langkawi tersenarai sebagai antara satu geopark yang diberikan kad hijau.

"Keputusan rasmi hanya akan dikeluarkan pada April 2020 namun kita dimaklumkan sudah boleh berkongsi berita baik ini dengan seluruh penduduk Langkawi dan Malaysia," katanya.

Mengulas lanjut, Hezri berkata berdasarkan maklumat awal yang diterima, UNESCO Global Geopark berpuas hati dengan pelaksanaan konsep geopark di Langkawi.

"Kalau dilihat komen yang diberikan oleh UNESCO Global Geopark memang lebih baik berbanding apa yang diterima pada 2015, maksudnya kita telah ada beberapa penambahbaikan yang diiktiraf mereka," katanya.

Sebagai rekod, proses revalidasi status LUGGp telah dijalankan oleh dua pakar Dr Kirstin Lemon dari Ireland dan Sigurdur Sigursveinsson dari Iceland selama lima hari bermula 7 hingga 11 Ogos lepas.

Langkawi diisytihar sebagai sebuah Geopark oleh Global Geopark Network (GGN) yang bernaung di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1 Jun 2007.

Status itu bagaimanapun tertakluk kepada penilaian semula yang dilaksanakan setiap empat tahun, sekali gus meletakkannya sebagai geopark pertama di rantau Asia Tenggara.

Pulau pelancongan bebas cukai ini berjaya mengekalkan status ini untuk dua proses penilaian semula yang telah dijalankan pada tahun 2011 dan 2015.

Post a Comment

0 Comments