KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) mewartakan perintah larangan terhadap komik 'Inisiatif Jalur dan Jalan- Meraih Manfaat Bersama (BRI)’.
Warta perintah larangan itu yang berkuatkuasa hari ini berdasarkan Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).
Seksyen itu menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan itu adalah dilarang secara mutlak di Malaysia.
Menurut KDN, penerbitan komik itu dikenakan perintah larangan kerana terdapat kandungan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan serta mungkin menggemparkan fikiran orang ramai.
“Ini antara lain cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme, menyebarkan fakta yang salah dan mengelirukan tentang komunis serta mengandungi unsur untuk membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan komunis.
“Ia juga boleh menimbulkan keraguan kepada pembaca khususnya generasi muda tentang sejarah Malaysia, seterusnya mempertikaikan usaha serta perjuangan tokoh/pemimpin negara terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan dan membangunkan negara,” kata kementerian melalui kenyataannya.
Komik itu adalah terbitan Muzium Kebudayaan Komik Asia yang diterajui oleh Hew dengan kerjasama artis tempatan Chong Po Ling.
Menurut kerajaan kandungan penerbitan itu dlilihat tidak mengambil kira sensitiviti rakyat negara ini yang berbilang kaum dan agama serta dibimbangi boleh memecah belahkan keharmonian dan perpaduan masyarakat.
Mana-mana individu yang disabitkan dengan kesalahan tersebut boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya, katanya.
0 Comments