JEPUN menggandakan usaha menyelamat mangsa serangan Taufan Hagibis di kawasan tengah dan timur negara itu.
Setakat ini, kira-kira hampir 70 nyawa terkorban setakat ini, belasan mangsa hilang dan 211 lagi cedera dalam tempoh tiga hari selepas taufan itu membawa angin kencang serta hujan lebat.
Memetik laporan AFP, Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dilaporkan berikrar untuk melakukan apa sahaja demi menyelamatkan mangsa dan penduduk yang terjejas.
“Sehingga kini, ramai penduduk hilang di kawasan terjejas bencana. Unit penyelamat berusaha untuk mencari mangsa dan menyelamatkan mereka, bekerja siang dan malam,” katanya dipetik selepas satu mesyuarat bencana yang diadakan baru-baru ini.
Sementara itu difahamkan, Kementerian Pertahanan negara turut diminta mengarahkan 32,000 anggota tentera termasuk 1,000 tentera simpanan terlibat dalam operasi menyelamat.
Hagibis yang melanda Jepun pada malam 12 Oktober lalu menyebabkan 138,000 isi rumah tidak memiliki bekalan air, manakala 76,000 lagi bergelap, sekali gus mencetuskan kebimbangan di kawasan utara ketika cuaca bertambah sejuk.
Media tempatan melaporkan sejumlah 176 sungai melimpah terutama di timur dan utara Jepun.
0 Comments