PRESIDEN Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Azwanddin Hamzah memohon maaf secara terbuka kepada Menteri Industri Utama Teresa Kok.
Ia berikutan tindakannya sebelum ini kerana mengaitkan pemimpin DAP itu dengan rusuhan berhampiran Kuil Seafield Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, 25 Disember lalu.
“Saya membuat penyebaran permohonan maaf ini melalui media secara tiada paksaan dan menghormati keputusan dan perintah mahkamah,” katanya.
Azwanddin sebelum ini turut dilapor membuat permohonan maaf kepada seorang lagi pemimpin DAP, Liew Chin Tong kerana menuduh timbalan menteri pertahanan Liew Chin Tong itu menggunakan "seragam komunis" walaupun ia sebenarnya baju korporat bush jaket yang disediakan kementerian diwakilinya.
Dalam saman dikemukan Teresa sebelum ini, Azwanddin mendakwa Kok mempunyai kaitan dengan pemaju One City Development yang merupakan pemilik tanah tapak kuil berkenaan.
Azwanddin dalam himpunan pada 25 Disember anjuran Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) yang diadakan bagi menuntut keadilan buat anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang terbunuh susulan rusuhan itu, Azwanddin mendakwa Kok tidak menafikan kaitannya dengan pemaju berkenaan.
Selain itu, sebagai sebahagian penyelesaian di luar mahkamah, Kok turut menuntut bayaran untuk penyelesaian kes. Kok juga dilaporkan meminta dirinya tidak dikaitkan dengan insiden rusuhan berkenaan.
Sebagai rekod, kes saman fitnah yang difailkan itu diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 29 Julai lepas.
Peguam SN Nair yang mewakili Kok berkata kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan kes secara baik di luar mahkamah selepas defendan (Azwanddin) bersetuju untuk mengemukakan permohonan maaf yang diterbitkan di tiga surat khabar iaitu Sinar Harian, The Star dan Sin Chew Daily.
0 Comments