ANCAMAN kerajaan PAS Kelantan untuk menyaman Petronas berhubung bayaran royalti ke negeri itu disifatkan sebagai tindakan 'pak pandir'.
Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Kelantan, Senator Husam Musa mempersoalkan ancaman itu setelah kerajaan negeri menarik semula saman yang pernah dikemukakan mereka sebelum ini.
"Bila kerajaan Kelantan tak ada terma penyelesaian tarik macam itu saja, jadi tak ada forum (hujah) untuk kemukakan masalah yang berbangkit seperti telaga-telaga yang dipertikaikan itu.
"Patut lantik satu jawatankuasa untuk berunding sebelum kita tarik saman," katanya pada sidang media di Pasir Puteh.
Terdahulu, Anggota Parlimen Kota Bharu, Takiyuddin Hassan membuat ancaman itu susulan rasa tidak puas hati setelah kerajaan Kelantan mendakwa mereka tidak bayaran royalti hasil minyak dan gas di perairan mereka.
"Saya bukan pakar perundangan tetapi saya rasa dalam undang-undang bila kita tarik saman kemudian nak fail balik saman kes yang sama, saya rasa jadi macam Pak Pandirlah, tak bolehlah," tambah Husam lagi.
Sementara itu, Husam yang juga Naib Presiden Amanah mengingatkan pentadbiran negeri agar bersikap profesional dalam mencari penyelesaiaan terhadap itu itu.
"Saya tak ada maklumat jumlah bayaran (sepatutnya). Perkara ini boleh dibangkitkan oleh kerajaan negeri. Mereka boleh tulis surat pada kerajaan persekutuan dan minta penjelasan ini duit daripada pengeluaran, apa kuantum pengeluaran, itu cara yang profesional.
"Tak perlu bergaduh macam budak kecil berebut gula-gula," tambahnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa bayaran RM28 juta oleh kerajaan pusat kepada Kelantan baru-baru ini adalah bayaran tunai hasil pengeluaran petroleum berasaskan peruntukan lima peratus seperti termaktub dalam perjanjian antara Kelantan dan Petronas pada 1975.
Ditanya mengenai anggaran bayaran hasil itu, Husam berkata, berdasarkan kajian yang dibuatnya sebelum ini, Kelantan berhak mendapat RM103 juta setahun (telaga kawasan Bumi Selatan).
"Jumlah yang kita ada hanya anggaran sebelum ini. RM1 bilion itu berdasarkan anggaran kita (termasuk yang tertunggak).
"Bagi telaga (Medan Camelia) tertakluk pada pengeluaran sebenar daripada data-data diperolehi dari pelbagai sumber, Kelantan patut dapat RM103 juta setahun (anggaran).
"Jadi kita nak tengok yang Upen (unit perancangan ekonomi negeri) kata mereka ada data. Kalau ambil data saya, patut berterima kasihlah," katanya merujuk buku Royalti Amanah Dikhianati yang ditulis sebelum ini.
0 Comments