CUCU Presiden pertama Indonesia, Sukarno melakar sejarah apabila mengangkat sumpah sebagai speaker Dewan Perwakilan Rakyat (DPR).
Puan Maharani Nakshatra Kusyala yang juga satu-satunya anak perempuan Megawati Sukarnoputri adalah wanita pertama di negara itu yang diangkat ke jawatan tertinggi DRP itu.
Pada pilihan raya April lalu, ahli politik berusia 46 tahun itu mewakili Parti Perjuangan Demokratik Indonesia (PDI-P) yang dipengerusikan ibunya.
PDI-P memenangi kerusi terbanyak DPR pada pilihan raya April lalu, membolehkannya dilantik sebagai speaker sementara menunggu sokongan majoriti ahli, lapor Jakarta Globe.
Susulan lantikan itu juga, Maharani turut dilapor akan meletak jawatan sebagai menteri penyelaras untuk pembangunan dan budaya manusia pada Isnin. Ia bagi membolehkannya menjalankan tugas speaker dengan adil.
“Walaupun fungsi Dewan Perwakilan Rakyat akan berjalan secara dinamik, jangan biarkan ia memecahkan kita dan menjadikan kita menjadi tidak produktif,” kata Maharani dalam ucapannya selepas mengangkat sumpah sebaga speaker dewan.
Maharani sementara itu turut menggesa semua anggota dewan menggalakkan semangat kerjasama untuk mengoptimumkan kerja mereka sebagai wakil rakyat.
Sementara itu, Azis Syamsuddin dari Parti Golkar, Sufmi Dasco Ahmad, pembangkang utama Parti Gerakan Nasional (Gerindra), Rachmat Gobel dari Parti Demokratik Nasional (NasDem) dan Muhaimin Iskandar dari Parti Kebangkitan Negara (PKB) pula dilantik sebagai timbalan speaker.
0 Comments