Banjir di Semenanjung makin teruk, PPS telah dibuka


KEADAAN
banjir di Selangor, Johor, Perak, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan semakin membimbangkan.

Sehingga jam 12 tengahari tadi, sejumlah 1,149 penduduk daripada 309 keluarga telah dipindahkan di Pusat Pemindahan Sementara(PPS).

Berdasarkan statistik portal bencana alam, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), jumlah penduduk paling ramai dipindahkan setakat ini ialah di Selangor.

659 orang mangsa terdiri daripada 185 keluarga yang tinggal di Kuala Selangor dipindahkan ke empat PPS.

Daripada jumlah berkenaan, seramai 492 ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang; 89 dipindahkan ke Dewan MDSK Desa Coalfield; SK Jalan Setia Batang Berjuntai (46) dan Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Ijok (32).

Sementara di Perak, seramai 185 mangsa dipindahkan ke dua PPS.

Mereka yang terdiri daripada 42 keluarga ditempatkan masing-masing di PPS Kerian dan Hilir Perak. Manakala di Seberang Prai, Pulau Pinang pula jumlah mangsa banjir dipindahkan ke tiga PPS di daerah berkenaan kini mencecah 131 orang daripada 35 keluarga.

Di Johor seramai 105 mangsa daripada 24 keluarga dipindahkan ke dua PPS, masing-masing di Batu Pahat dan Pontian, manakala di Jelebu, Negeri Sembilan, seramai 69 mangsa daripada 23 keluarga ditempatkan di dua PPS yang dibuka.

NADMA juga mengesahkan bahawa Jalan Bagan Serai di Kerian menuju ke Alor Pongsu dan Selama ditutup kepada semua kenderaan akibat banjir.

Post a Comment

0 Comments