Anwar gesa P.Pinang dengar keresahan nelayan


PRESIDEN KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihati Kerajaan Negeri Pulau Pinang agar mengutamakan pembangunan kawasan Bayang Lepas sebelum menjalanan projek pembinaan tiga pulau buatan melalui tambakan laut.

Tambahnya, gesaan itu bukan bererti beliau menolak projek tambakan laut di selatan Pulau Pinang (PSR) yang dirancang kerajaan, namun pembangunan yang mahu dijalankan tegasnya wajar memberi faedah kepada semua pihak.

Lebih penting tegas Anwar, projek yang mahu dijalankan mestilah tidak keresahan penduduk di kawasan berkenaan terutama kepada golongan nelayan.

“Saya setuju kalau mahu tebus guna tanah, namun ia harus didahului pembangunan di kawasan Bayan Lepas, termasuk Gertak Sanggul kerana di situ ia agak terpinggir.

“Kalau kita abaikan kawasan itu, ia akan meninggalkan keresahan kepada penduduk. Kita tidak mahu itu terjadi,” katanya pada Konvensyen KEADILAN Pulau Pinang di Bukit Mertajam.

Anwar dalam ucapannya sekali lagi mengulangi pendiriannya supaya pelaksanaan PSR tidak diteruskan sehingga satu kajian dan penelitian lanjut mengenai kesan kepada kawasan serta mereka yang terlibat dilakukan.

“Bukan hanya pampasan yang perlu difikirkan, sebaliknya projek jangka panjang untuk pastikan kelestarian hidup penduduk yang terdiri daripada nelayan di kawasan itu,”  tegas Anwar.

Julai lepas, Anwar mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, di Komtar, George Town dekat sini bagi membincangkan isu berkaitan projek tambakan laut yang bernilai RM46 bilion itu.

Perbincangan itu susulan perjumpaan Anwar bersama penduduk dan nelayan di Unit Nelayan Sungai Batu bagi mendengar rintihan komuniti itu yang dijangka akan terjejas dengan projek tersebut.

Ekoran kebimbangan disuarakan, Anwar turut membawakan isu berkenaan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad dan pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) agar diberi perhatian serius.

Difahamkan,  30 peratus daripada projek itu, yang melibatkan pembangunan di pulau, akan dijual untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang bernilai RM46 bilion - merangkumi sistem transit aliran ringan (LRT) dari Komtar ke Bayan Lepas.  Ia dibantah kerana dianggap bakal menyebabkan hakisan.

Post a Comment

0 Comments