KENYATAAN aneh Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin berhubung isu peralihan kuasa perdana menteri kepada Presiden KEADIALAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditempelak.
Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR, Shariful Azmir Mustafa mempersoalkan, apakah kenyataan 'selamat' dibuat Zuraida ketika ditanya media berhubung isu pengkhianat dalam parti itu sebagai tanda beliau sudah 'swing'.
“Saya berasa pelik hari ini Zuraida yang meminta Datuk Seri Anwar untuk move on. Setahu saya, Anwar dah lama move on malah beliau tidak sedikit pun goyah dan sering menyatakan isu peralihan kuasa telah selesai.
“Adakah Zuraida swing kerana sudah tidak ada jalan untuk menggagalkan pelan peralihan kuasa terhadap Anwar?” soal Shariful dalam satu kenyataan.
Sebagai rekod, Zuraida dan beberapa pemimpin lain KEADILAN, termasuk Mohammed Azmin Ali yang dikaitkan dengan usaha pihak tertentu cuba mewujudkan sebuah kerajaan 'pintu belakang' sebelum ini pernah ditegur Anwar kerana enggan hadir dalam mesyuarat parti yang dijalankan.
Bercakap mengenai pengkhianatan dalam parti, Anwar pada satu program di Sabah baru-baru ini secara terbuka mengakui ada “percubaan khianat” untuk menghalangnya dari menggantikan Mahathir sebagai Perdana Menteri seperti dipersetujui pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN).
“Mahathir pernah menyatakan mengikut perjanjian beliau hanya menjadi Perdana Menteri tidak lebih dua tahun.
"Namun antara yang sering mempersoalkan adalah Zuraida, Azmin serta puak-puak mereka. Merekalah yang sering mengungkit isu peralihan kuasa.
“Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin baru baru ini menegaskan Anwar Ibrahim adalah Perdana Menteri ke-8. Presiden Amanah, Mohamad Sabu juga menyatakan parti itu kekal dengan perjanjian mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri ke-8 begitu juga DAP,” kata Shariful lagi.
Zuraida ketika ditanyakan wartawan mengenai hal pengkhianatan yang didakwa Anwar berkata, cubaan khianat dalam menidakkan jawatan Perdana Menteri tidak berbangkit dan dia mahu 'move on' serta mula buat kerja dan beri perhidmatan kepada rakyat.
“Kita dah tak nak sentuh isu ini. Tiada lagi isu PM8, pengkhianatan," kata Menteri Perumahan itu kepada media.
0 Comments