Zynakal hidap bipolar mania, bebas dadah


PENYANYI
Zynakal yang dilapor mencederakan seorang pekerja stesen minyak baru-baru ini  sedang mendapatkan rawatan di wad psikiatri Hospital Kuala Lumpur sejak Sabtu lalu..

Popular dengan lagu terbang, Zynakal atau nama sebenarnya Muhammad Raziq Rosli, 21 ditahan di hospital itu setelah disahkan menghidapi penyakit bipolar mania.

Perkara tersebut didedahkan oleh sahabat baiknya, Syazwan Zanini seperti dilapor portal Kosmo.

“Buat masa ini Zyn masih dirawat dalam wad psikiatri, saya tidak tahu bila dia akan dibenarkan keluar.

“Semua bergantung kepada keadaannya. Penyakit mental bukan perkara yang boleh dibuat main. Sebagai rakan saya mengharapkan dia akan segera pulih,” kata Syazwan dipetik.

Jumaat lalu, Zynakal telah didenda RM2,800 oleh Mahkamah Majistret Ampang Kuala Lumpur selepas mencekik seorang pekerja sebuah stesen minyak di Ampang dan menghalang tugas anggota polis.

Hasil saringan air kencing dijalankan terhadapnya mendapati dia bebas dari penyalahgunaan najis dadah.

“Dia mempunyai pelbagai watak. Kadang-kala dia kelihatan okey dan ada masanya berubah menjadi orang lain,” ujar Syazwan.

Bipolar Mania merupakan salah satu penyakit gangguan mental. Antara simptom penyakit tersebut adalah berhalusinasi, perwatakan yang berubah-ubah, terlebih aktif dan kurang tidur.

Post a Comment

0 Comments