SEMAKIN banyak rahsia berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) didedahkan di Mahkamah.
Hari ini, bekas pegawai khas Najib Tun Razak memberitahu beliau rasa tertekan kerana diarahkan untuk pergi ke China bagi menjalankan tugas sulit ‘menyelamatkan’ hutang 1MDB.
Amhari Efendi Nazarudin, 43, berkata beliau diarahkan sendiri oleh Najib untuk menjalankan tugas sulit setelah ketua setiausaha sulit Najib, Datuk Azlin Alias meninggal dunia.
“Datuk Seri Najib sendiri telah meminta saya untuk datang ke kediamannya di Jalan Langgak Duta bagi membincangkan perkara ini dan memberitahu lawatan itu akan diuruskan ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low.
“Saya terpaksa akur walau pada masa itu. Saya terpaksa menurutinya kerana beliau adalah bos saya, apatah lagi beliau adalah Perdana Menteri Malaysia,” kata Saksi pendakwaan kelapan itu dalam keadaan sebak.
Beliau turut mendedahkan Jho Low dalam masa sama turut menghubunginya bagi menyampaikan arahan mengenai agenda dan program lawatannya ke China.
“Terma-terma yang hendak dibincangkan juga saya terima daripada Jho Low pada saat-saat akhir dan ia kelihatan seperti sudah ada seseorang yang membincangkan terma-terma berhubung perkara ini (pelaburan Malaysia-China) lebih awal.
“Namun begitu, berdasarkan ‘talking points’ dan ‘action plan’ (nota maklumat dan pelan tindakan) Jho Low kepada saya, perjanjian dan usahasama ini merupakan satu pelaburan yang akan membantu membayar balik hutang 1MDB seperti bayaran hutang 1MDB ke IPIC,” katanya sambil menambah kesemuanya sudah dirancang oleh Najib dan Jho Low untuk menggunakan perjanjian dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) China bagi tujuan ini.
Bimbang Ancaman Najib
Sementara itu, Amhari mengakui bimbang sekiranya dilibatkan sama dalam percaturan antara Najib dan Jho Low sekiranya tujuan lawatan itu adalah bagi menutup isu kehilangan dana 1MDB, pembayaran hutang International Petroleum Investment Company (IPIC) atau penyediaan dana politik.
Beliau juga yang bimbang akan ancaman dan kesusahan yang akan dihadapinya sekiranya arahan Najib tidak dipatuhi ketika itu.
Difahamkan, Amhari membawa kapasiti sebagai wakil diplomatik Najib dalam lawatan sulit ke China pada 27 Jun 2016. Dia dibawa berjumpa pegawai kanan dari State-owned Assets Supervision and Administration Commission of the State Council (SASAC) yang merupakan badan pengelola semua GLC bagi China.
“Semasa di sana, saya telah menggunakan input daripada Jho Low untuk courtesy call (kunjungan hormat) bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala ini," tambahnya.
Menurutnya lagi, satu ‘talking points’ yang disediakan Jho Low mengesahkan bahawa Najib sendiri meluluskan kerjasama ini dan akan diterjemahkan ke dalam bahasa Mandarin oleh Jho Low kepada pihak China.
Berdasarkan isi kandungan ‘talking points’ tersebut, Amhari berkata jelas bahawa antara agenda yang dibawa dalam lawatan ke China itu adalah kehendak Najib untuk membawa pelabur GLC China ke Malaysia dengan cara pengambilalihan hutang-hutang 1MDB dan SRC International Sdn Bhd.
“Ayat ‘while simultaneously completely resolving 1MDB and SRC debts’ jelas membawa maksud Datuk Seri Najib ingin menyampaikan mesej bahawa hubungan ini akan turut membantu 1MDB dan SRC melalui ‘bailout’ hutang-hutang 1MDB.
“Nota yang diberikan Jho Low turut mengandungi satu ayat yang berbunyi “I will now handover to Mr Liu to provide a detailed explanation of the economic program” (Saya kini akan menyerahkan kepada Encik Liu untuk memberikan butiran penjelasan mengenai program ekonomi itu) yang perlu dibaca oleh saya. “Mr Liu” itu merujuk kepada Jho Low yang mana sebutan “Liu” adalah sebutan dalam bahasa Mandarin,” kata saksi itu seperti dipetik dari Bernama.
0 Comments