DISEBALIK kekacauan kaum yang cuba diusaha pihak tidak bertanggungjawab, umat Islam di negara ini digesa sentiasa mengutamakan keamanan melalui dasar rahmah.
Presiden Forum Memperkasakan Keamanan Emiriah Arab Bersatu (UAE) Shaykh Abdallah Shaykh Al-Mahfoudh Bayyah membuat gesaan itu supaya tidak timbul kekecohan dalam dunia semasa Islam tertutama dengan tersebarnya banyak fitnah akhir zaman melalui media sosial.
Beliau berkata, melawan fitnah media sosial adalah penting supaya ia tidak menjadi sebab yang boleh memusnahkan kedamaian dan keharmonian dalam kalangan umat Islam sendiri.
Shaykh Abdallah menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah |
“Kita tidak sepatutnya menyebarkan berita atau maklumat yang boleh mengancam ketenteraman serta keamanan umat Islam," kata yang diterjemahkan ke bahasa Melayu.
Mengulas lanjut, Pengerusi Majlis Fatwa UAE itu mengingatkan agar umat Islam di seluruh dunia menolak sebarang bentuk keganasan kerana ia langsung tidak berlandaskan ajaran Islam sebenar.
Tegasnya Islam adalah agama murni dan suci yang menuntut kedamaian, keharmonian serta keamanan. Tiada pilihan lain bagi dunia ini melainkan hidup bersama (coexistence).
Shaykh Abdallah turut mengingatkan firman Allah dalam surah Yunus ayat ke-25 bermaksud: “Allah menyeru manusia ke tempat yang aman, dan Dia memberi petunjuk kepada jalan yang benar. ”
"Sehubungan itu, kewajipan masa kini adalah kewajipan untuk memperjuangkan keamanan.
"Beberapa insiden hitam yang telah berlaku sejak kebelakangan ini, menuntut kita semua supaya bersama-sama mengembleng usaha dan tenaga demi memadamkan api peperangan yang sedang marak menyala.
"Seruan kami hanyalah satu iaitu seruan kepada keamanan dan bukannya peperangan. Seruan kepada keharmonian dan bukannya kebencian. Seruan kepada kasih sayang dan bukannya pergaduhan. Kami mencari jalan-jalan keamanan, bukannya mencari sebab-sebab pergaduhan dan peperangan jahiliah," katanya
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa 1441H/2019M kepada Shaykh Abdallah.
0 Comments