KEBAKARAN hutan besar-besaran di Indonesia yang menyebabkan jerebu telah menjejaskan spesies orang utan dan habitat mereka.
Yayasan Kelangsungan Orangutan Borneo dalam satu kenyataan semalam berkata, jerebu toksik itu menjejaskan ratusan orang utan dalam jagaannya di pusat menyelamat dan pusat perlindungan hidupan liar.
![]() |
Kemudahan di Samboja Lestari terjejas teruk |
“Sebanyak 37 orang utan disyaki mengalami jangkitan pernafasan sederhana,” kata yayasan itu merujuk kepada satu pusatnya di Kalimantan.
Difahamkan, keadaan agak teruk di kemudahan Samboja Lestari di Kalimantan Timur sehingga aktiviti luar untuk haiwan terbabit dihadkan kepada beberapa jam sehari.
Orang utan terutamanya terdedah kepada pembersihan tanah komersial dan menyaksikan habitat mereka semakin mengecil secara dramatik sejak beberapa dekad lalu.
Populasi orang utan di Borneo menurun daripada kira-kira 288,500 pada 1973 kepada kira-kira 100,000 hari ini, menurut Kesatuan Pemuliharaan Alam Semula Jadi Antarabangsa.
Kebakaran hutan adalah masalah tahunan untuk Indonesia dan jirannya namun semakin buruk tahun ini disebabkan cuaca kering.
Ia biasanya bermula akibat pembakaran haram untuk membersihkan tanah pertanian, menyebabkan jerebu teruk di seluruh Asia Tenggara.

Di pulau Borneo, yang dikongsi bersama Malaysia dan Brunei, tahap pencemaran adalah ‘berbahaya’ menurut data Kementerian Alam Sekitar. Ratusan sekolah di seluruh Malaysia dan Indonesia telah ditutup susulan bencana ini
0 Comments