Sarjan penjara maut terjun Jambatan Pulau Pinang


SEORANG lelaki dilapor maut selepas terjun dari Jambatan Pulau Pinang dalam kejadian malam Khamis lalu.

Memetik laporan Astro Awani, lelaki berusia 54 tahun itu ditemui tertiarap di celah batu dengan kesan kecederaan di siku kiri, kaki kanan, dahi kanan dan belakang badan.

Mangsa dilapor meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah akibat terhempas ke atas batu selepas terjun pada ketinggian kira-kira 70 meter.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang memaklumkan, siasatan awal mendapati lelaki itu bekerja di Sungai Petani.

Kereta ditinggalkan di tepi jambatan | Sumber - Astro
Menurut beliau, pemeriksaan lanjut di dalam sebuah kereta jenis Proton Waja yang ditinggalkan di tepi jambatan menemui sekeping kertas yang tertera alamat rumah dan juga nombor telefon bimbit abang serta adiknya.

Che Zaimani berkata, pihak polis juga memanggil dua pegawai di tempat kerjanya untuk membuat pengecaman mayat.

Hasil keterangan lanjut daripada pegawai terbabit mendapati lelaki itu bertugas di penjara dan berpangkat sarjan, sudah berkahwin dan mempunyai empat orang anak.

Dia sebelum ini ada memberitahu menghidap gastrik dan sukar tidur malam. Malah baru sahaja mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Sungai Petani dan diberi cuti sakit selama sehari.

Setakat ini Che Zaimani berkata, siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
 

Post a Comment

0 Comments