Penyatuan Pas-Umno cuma hipokrasi politik - Mahfuz


GAMBAR
pemimpin Pas dan Umno yang mengenakan baju-T dengan lambang bendera kedua-dua parti itu yang tersebar di media sosial semalam menarik perhatian warganet.

Apa lagi pemimpin-pemimpin parti itu sebelum ini keras menafikan  bahawa sememangnya ada usaha sulit dijalankan sejak beberapa tahun dulu untuk menjalinkan kerjasama politik antara parti itu.

Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar turut tidak ketinggalan memberi komen terhadap gambar yang tersebar itu dengan menyifatkannya sebagai sesuatu yang sangat menakjubkan kerana parti tersebut saling membenci suatu ketika dulu.

"Suatu ketika dulu PAS melabel Umno sebagai tidak Islamik, manakala Umno pula mempersenda PAS sebagai ‘parti ajaran sesat.’

“Menakjubkan, telah tersemat di dada - bendera dan keris Umno pada dada pemimpin Pas.

Mahfuz Omar
"Hari ini mereka sematkan di dada masing-masing lambang tersebut kononnya atas semangat penyatuan,” katanya dipetik Malaysiakini.

Menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, Pas menegaskan tidak akan mengadakan kerjasama politik dengan Umno kerana ia boleh melemahkan parti itu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata keputusan itu sudah dibuat menerusi Majlis Syura Ulama, Bagaimanapun mereka mula bekerjasama untuk mengalahkan calon Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) baru-baru ini.
Sementara itu, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, alasan penyatuan yang diguna kedua-dua parti itu bagi menghalalkan kerjasama mereka tidak lebih daripada sebuah hipokrasi politik.

Malah Piagam Muafakat Nasional yang akan dimeterai di antara parti itu pada 14 September ini tegasnya bukannya demi penyatuan ummah seperti didakwa.

Ia jelasnya boleh dilihat melalui ceramah kedua-dua parti itu yang sering menyebut hasrat memenangi pilihan raya akan datang menerusi kerjasama tersebut.

“Jadi, saya ucapkan terima kasih dan tahniahlah kepada mereka, sebab mereka beritahu tentang hipokrasi politik mereka kepada umum.

"Tahniah kerana dapat terima parti kleptokrat dan pemimpin kleptokrat untuk berganding bahu, berpimpin tangan dalam politik negara.

“Selamat pengantin baru didoakan moga berbahagia hingga ke anak cucu,” kata bekas pemimpin Pas itu secara sinis.

Post a Comment

0 Comments