Orang waras tak gadai keharmonian - Tun M


RAKYAT Malaysia yang berfikiran waras tidak akan mudah terpengaruh dengan usaha memecahbelah masyarakat, tegas Perdana Menteri.

Bercakap dalam ucapan sempena sambutan Hari Malaysia ke-56 di Kuching malam tadi, , Tun Dr Mahathir Mohammad menggesa rakyat menentang usaha pihak tertentu yang cuba mencetuskan rasa tidak tenteram di kalangan rakyat.

"Terdapat usaha-usaha untuk melemahkan perpaduan kita dan ia dilakukan oleh rakyat kita sendiri.

Tun M ketika sambutan hari Malaysia di Kuching
"Naratif yang diguna sering berkait dengan perkara-perkara emosional terutamanya melibatkan kaum, agama, kenegerian dan kumpulan etnik. Amat mudah untuk kita terperangkap dengan isu-isu ini kerana ia dekat di hati kita.

"Tetapi jika kita berjiwa besar, ada keyakinan diri dan berfikiran waras, kita tidak akan benarkan diri dipengaruhi," tegasnya.

Menurut Dr Mahathir lagi, perbezaan pendapat dikalangan rakyat negara ini yang berbilang bangsa dan latar belakang merupakan perkara biasa yang perlu dirai serta dihargai dan tidak dijadikan alasan untuk perpecahan.

"Kita kenang dan hargai perjalanan berliku dan sukar yang ditempuhi rakyat terdahulu bagi mendapatkan kemerdekaan buat Persekutuan Tanah Melayu, disusuli pula usaha yang menyatukan di bawah negara Malaysia.

"Jika kita ingat apa yang mereka lalui, kita tidak akan mengambil ringan perpaduan dan kerjasama di antara rakyat, malahan kita akan bangkit mempertahankannya jika ada anasir yang mahu mengganggu gugat perpaduan tersebut.

"Tanggungjawab untuk mempertahankan perpaduan di kalangan kita bukan hanya tanggungjawab kerajaan persekutuan atau kerajaan Sabah dan Sarawak semata-mata tetapi tanggungjawab kesemua rakyat yang mengaku dirinya rakyat negara ini," katanya dalam majlis tersebut.

Selain pemimpin persekutuan, sambutan malam tadi juga dihadiri Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg dan Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal.