Hampir 200 ribu ayam dilupuskan gara-gara ammonia.


HAMPIR
200,000 ayam dilupuskan sebuah kilang memproses ayam di Merlimau gara-gara kejadian kebocoran gas ammonia pada Selasa.

Difahamkan, keputusan itu dibuat pihak pengurusan kilang itu bagi memastikan pengguna tidak terdedah kesan bahaya akibat pencemaran gas tersebut.

"Kesemua ayam telah ditanam kerana ia tidak boleh dibakar sebagaimana arahan Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri.

"Kilang pemprosesan ini beroperasi seperti biasa cuma kawasan yang terjejas dengan kebocoran gas ammonia masih ditutup untuk siasatan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Melaka," kata Eksekutif Sumber Manusia kilang terbabit, Haw Kok Seong.

Dalam kejadian sekitar jam 22.40 pagi itu,26 pekerja kilang pemprosesan ayam yang terletak di Merlimau terpaksa dikejarkan ke hospital selepas mengalami sesak nafas dan muntah ekoran kebocoran gas amonia di kilang berkenaan.

Ia turut mencetuskan rasa bimbang berhubung pencemaran udara di kalangan penduduk sekitar.

Susulan itu, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Melaka dan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) digegaskan ke lokasi bagi mengawal keadaan.

Mereka mendapati saluran paip bilik sejuk beku produk makanan kilang bocor sehingga menyebabkan gas tersebut terlepas ke udara.

Bagaimanapun, selepas kebocoran dikawal, Pihak polis mengesahkan kawasan tersebut bebas daripada sebarang pencemaran.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani negeri, Norhizam Hassan Baktee berkata, walaupun pelupusan itu telah menjejaskan bekalan ayam di negeri itu. Ia bagaimana pun telah dapat diatasi.
 

Post a Comment

0 Comments