Grand Prix Itali: Leclerc menang sekali lagi


KEMARAAN pelumba pasukan Ferrari, Charles Leclerc  seolah-olah tidak dapat dikekang lagi.

Setelah merangkul kejuaraan pertama dalam kariernya pada Grand Prix Formula Satu (F1) Belgium minggu lalu, pelumba muda Monaco itu sekali lagi muncul juara di GP Itali semalam.

Charles Leclerc berjaya mengetepikan tentangan sengit dua pemandu Mercedes, Lewis Hamilton dan Valtteri Bottas sekaligus menghadiahkan kemenangan pertama buat Ferrari di tempat sendiri sejak 2010.

Kemenangan bagaimanapun tidak hadir dengan mudah apabila pemandu muda itu dihambat oleh juara dunia, Hamilton sepanjang 20 pusingan. Bagaimanapun pemandu berusia 21 tahun itu tampak tenang sepanjang perlumbaan.

“Perlumbaan yang gila!.

“Saya tidak pernah rasa sepenat ini dalam perlumbaan. Ia amat sukar, namun saya berjaya memenuhi impian Itali untuk menang di depan penyokong sendiri,” kata Leclerc selesai perlumbaan.

BACA:
Pelumba Ferrari menang dalam emosi

Dalam perlumbaan di Litar Monza itu, pelumba Valtteri Bottas yang memandu untuk Mercedes menamatkan saingan di tempat ke dua, manakala Hamilton yang dikecewakan oleh masalah tayar pada pertengahan saingan terpaksa berpuas hati di tangga ketiga.

Hamilton yang kecewa kemudian meminta maaf kepada pasukan Mercedes kerana gagal meneruskan momentum ekoran isu tayar yang dihadapi.

Bagaimanapun juara dunia lima kali itu masih kekal mendahului kedudukan pemandu dunia dengan 63 mata mengatasi Bpttas.

Daniel Ricciardo dari pasukan Renault pula menamatkan saingan di tempat keempat, diikuti rakan sepasukannya, Nico Hulkenberg kelima dan pemandu baharu Red Bull, Alex Albon keenam.

Seorang lagi pelumba Ferrari, Sebastian Vettel terbabas dan sekadar menamatkan saingan di tempat ke-13

Post a Comment

0 Comments