Guna konsep payung bagi program sarapan percuma - Anwar


KEMENTERIAN
Pendidikan dicadang memperkenal 'konsep payung' dalam program sarapan percuma yang akan diperkenalkan di sekolah pada Januari tahun depan.

Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu baik bagi memastikan usahawan kecil Bumiputera dapat terlibat dan mendapat manfaat dari program kerajaan itu.

“Saya menyambut baik langkah kementerian menyediakan sarapan kepada murid sekolah. Saya harap bagi tender kepada penyedia produk makanan halal IKS (industri kecil dan sederhana) bermutu dari semua daerah.

“Makanan mesti bersih, berkualiti dan sihat. Paling penting, pastikan konsumsi gula tidak berlebihan, terutamanya di Kelantan. Kita patut kurangkan konsumsi gula secara drastik.

“Saya cadangkan kementerian guna konsep payung,” katanya dalam sesi Dialog Khas Pemberdayaan Ekonomi Umat, di Pusat Pameran Mine Ahad lalu.

Konsep payung pernah diperkenalkan ketika Anwar menjadi menjawat jawatan menteri kewangan sebelum ini.

Melalui konsep itu, setiap syarikat besar yang memenangi kontrak kerajaan disyaratkan mengagihkan projek tersebut kepada syarikat kecil berkemampuan supaya syarikat-syarikat kecil dapat dibantu.

“Semasa saya menjadi menteri kewangan, kita gunakan konsep payung. Hendak buat kerusi meja untuk anak-anak sekolah. Kita boleh beri kontrak kepada syarikat besar.

“Kita pergi kepada syarikat Guthrie. Melalui konsep payung, Guthrie cari 60 syarikat kecil yang boleh buat mengikut spesifikasi. Mesti ada kualiti kayu dan syarikat yang penuhi syarat akan diberikan kontrak.

“Maknanya daripada satu syarikat, kita bagi juga kepada 60 syarikat kecil dan sederhana yang majoritinya Bumiputera,” jelas Anwar yang juga Presiden KEADILAN.

Kerajaan melalui Kementeri Pendidikan bakal melaksana program sarapan percuma mulai tahun hadapan. Ia bagi memastikan setiap pelajar yang hadir ke sekolah menikmati sarapan percuma sebelum sesi pembelajaran bermula.
 

Post a Comment

0 Comments