ENTAH mengapa pentas sukan yang sepatutnya boleh menjadi jambatan penghubung persahabatan boleh bertukar menjadi pentas kebencian.
Itulah insiden memalukan yang berlaku pada perlawanan bolasepak antara skuad Malaysia dan Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta malam ini.
Ratusan warga Malaysia dilapor diserang saudara serumpun dari negara jiran.
Penyokong cedera dibawa untuk rawatan | Sumber - Astro |
Perkara itu disahkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang turut berdepan detik cemas ketika menyaksikan perlawanan tersebut.
“Sebentar tadi saya bersama penyokong-penyokong Harimau Malaya menyaksikan Kelayakan Piala Dunia. Objek besi, botol dan suar dicampak kepada kami beberapa kali.
“Terdapat juga beberapa penyokong Indonesia juga cuba merempuh kawasan penyokong Malaysia dan perlawanan terpaksa dihentikan seketika,” demikian katanya menerusi entri di laman Twitter, malam ini.
BACA: Kelayakan Piala Dunia: Harimau Malaya ratah Garuda
Dalam insiden itu, pihak keselamatan juga dilapor terpaksa melepaskan gas pemedih mata dari pintu masuk VVIP ke arah penyokong yang merusuh. mereka juga diarah untuk segera bersurai.
Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan membuat aduan rasmi kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berhubung insiden tersebut.
Syed Saddiq juga berkata, beliau akan membuat aduan rasmi mengenai kejadian tersebut kepada kerajaan Indonesia dan rakan sejawatan saya di sana," katanya di Instagram.
“Gangsterism tidak akan ditolak ansur dalam apa jua cara. Keselamatan pemain dan penyokong Malaysia adalah keutamaan saya," tambahnya lagi.
Memetik laporan Berita Harian, dua rakyat Malaysia dilapor tercedera dalam insiden tersebut.
Seorang mengalami patah tangan dipercayai akibat terjatuh ketika cuba menyelamatkan diri daripada kekecohan provokasi penonton tuan rumah.
Seorang lagi pula cedera di kepala dan belakang akibat terkena objek yang dibaling penyokong Indonesia.
0 Comments