Bas rentung lepas turun Terowong Menora


SEBUAH
bas ekspres dua tingkat yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kedah hangus terbakar dalam kejadian siang tadi.

Bagaimanapun, 12 penumpang serta dua pemandu bas terbabit dilapor selamat selepas berjaya keluar dari kenderaan itu sejurus sebelum ianya terbakar.

Pemandu bas tersebut dilapor memberhentikan kenderaan tersebut di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Kuala Kangsar, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara selepas terhidu bau hangit dari bahagian enjin.

Keadaan bas yang rentung | Sumber BH Online
“Bas itu dinaiki 12 penumpang dan dua pemandunya. Kesemua mereka berjaya keluar dengan selamat sebelum api merebak. Pihak bomba, PLUS dan PROPEL (Projek Penyelenggaraan Lebuh Raya Berhad) turut membantu di lokasi kejadian,” kata  Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim.

Seorang penumpang, Nur Syakila Abd Malik, 21, berkata, beliau mula terhidu bau hangit sejak bas itu menuruni Terowong Menora, namun tidak mengesyaki apa-apa.

“Saya dikejutkan penumpang yang meminta turun dari bas kerana berlaku kebakaran. Selepas keluar dari bas, saya melihat api kecil dan asap di bahagian belakang bas.

“Pemandu bas kemudian cuba memadamkan api menggunakan alat pemadam api yang ada di dalam bas dan alat pemadam api milik PLUS,” katanya dipetik laporan sebuah portal.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak pula berkata, anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar dengan dibantu BBP Meru Raya bergegas ke lokasi kejadian selepas panggilan kecemasan diterima pada jam 1.57 tengah hari.

Beliau berkata, bas terbabit musnah 90 peratus sebelum api berjaya dikawal sepenuhnya dan operasi ditamatkan pada jam 3.48 petang.

Post a Comment

0 Comments