13 restoran Hulu Selangor kotor, dihurung tikus


BEBERAPA premis menjual makanan di sekitar Hulu Selangor diarah tutup setelah dikesan beroperasi dalam keadaan kotor.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata ,dalam operasi Premis Bersih Bersepadu Daerah Hulu Selangor pada Rabu lalu, 13 premis dikesan kotor dengan kehadiran tikus dan lipas.

Kesemua premis itu telah diberi tempoh selama 14 hari untuk melakukan kerja-kerja pembersihan mengikut Seksyen 10 dan 11 Akta Makanan 1983.

"Lima premis terdapat hurungan tikus, sebuah premis terdapat hurungan lipas manakala tujuh premis lagi ditutup kerana markah penilaian kebersihan semasa pemeriksaan yang diperoleh kurang daripada 65 peratus," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain itu tambah Dr Khalid, sebanyak 113 notis melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 turut telah dikeluarkan kepada pemilik premis dan juga pekerja premis.

Manakala 59 pengendali makanan yang bekerja di restoran dan kedai makanan pula dikesan tidak  tidak memiliki sijil latihan pengendali makanan dan seramai 63 orang tidak mendapatkan suntikan tifoid.

Dr Khalid Ibrahim

"Kesemua kesalahan ini turut diambil tindakan penguatkuasaan," katanya.

Difahamkan, operasi berkenaan diselaraskan oleh Unit Inspektorat dan Perundangan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Selangor, Ia melibatkan seramai 81 orang pegawai dan mendapat kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia.

JKN Selangor katanya akan sentiasa mengadakan operasi di seluruh negeri bagi memastikan pengusaha dan pengendali makanan mematuhi peruntukan undang-undang dan makanan yang disediakan adalah selamat untuk dimakan.

Justeru orang ramai dialu-alukan untuk menghubungi JKN Selangor sekiranya mempunyai aduan berkenaan premis makanan kotor atau terdapat produk makanan yang rosak yang djual di negeri itu.

Post a Comment

0 Comments