Subsidi petrol : Satu lagi janji bakal dilaksana


PAKATAN Harapan (HARAPAN) dijangka bakal menunaikan satu lagi janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) lalu dalam sedikit masa lagi.

Ia susulan laporan media sebelum ini bahawa kerajaan bakal mengumumkan keputusan pelaksanaan subsidi petrol bersasar yang dijanjikan kepada golongan kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah (B40).
Saifuddin Nasution | Sumber- Google
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dipetik berkata satu kertas mengenainya telah dimuktamadkan dan akan dibentangkan kepada jemaah menteri

“Dalam masa terdekat ini, ia akan dibentang kepada jemaah menteri untuk diberi lampu hijau jika jemaah menteri berpuas hati dan jika tidak berpuas hati akan ada pembetulan.

“Jika jemaah menteri berpuas hati, kerajaan akan mengumumkan secara rasmi pelaksanaannya merangkumi seluruh negara dalam masa terdekat,” katanya.

November tahun lalu Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyatakan pemilik kereta berkapasiti enjin 1,500cc dan motosikal berkapasiti enjin 125cc akan menikmati subsidi petrol.

Menerusi mekanisme subsidi itu, pemilik kereta akan menerima subsidi petrol RON95 terhad kepada 100 liter bagi pemilik kereta dan 40 liter bagi motosikal.

Sehingga April lalu, pelbagai usaha positif telah dilakukan kerajaan dalam melaksana janjinya. termasuk memperkenalkan pas bulanan tanpa had My50 dan My100 untuk perkhidmatan pengangkutan awam serta skim kesihatan rakyat.

Pakar Ekonomi, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Adli Amirullah berpandangan kerajaan sedang bergerak kearah yang betul dalam usahanya itu.

“Dalam teras kos sara hidup, tidak ada satu pun teras yang gagal. Jumlah janji yang positif dan sedang dilaksanakan adalah sebanyak 23 janji, lima telah terlaksana manakala 18 lagi dalam proses,” katanya dalam satu laporan media.

Post a Comment

0 Comments