Ribut Langkawi ambil satu nyawa



RIBUT dan angin kencang yang mengentam utara semenanjung semalam mengambil korban satu nyawa. 

Dalam kejadian di Jitra malam tadi, Marziah Che Omar, 27, dilanggar kereta selepas terjatuh daripada motosikal akibat terkena zink ketika ribut melanda. “Zink itu kemudiannya diterbangkan lagi dan menutup cermin hadapan sebuah kereta di belakang motosikal, pemandunya tidak nampak dan terus menggilis wanita berkenaan,” kata Ketua Polis Kedah Datuk Zainuddin Yaacob dipetik laporan bernama.
 
Di Alor Setar pula, lapan keluarga nyaris maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka dihempap pokok tumbang.

Manakala seorang lelaki berusia lingkungan 50-an cedera di kepala ditimpa atap zink yang runtuh dalam kejadian ribut di Bagan Luar, Butterworth.

Untuk rekod, ribut yang melanda semalam mencatatkan kelajuan 28 meter per saat yang bersamaan 100.8 kilometer sejam.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataannya berkata, kejadian itu disebabkan ekor Taufan Lekima yang membadai timur negara China.

“Apa yang berlaku sebenarnya adalah kita panggil garis badai adalah garisan ribut petir akibat tumpuan angin barat daya dan barat laut di tengah laut berpunca ribut tropika berlaku di timur China.

“Di selatan Thailand berlaku tumpuan angin menyebabkan garis badai ini. Ia bergerak daripada barat laut ke arah tenggara dan mengenai beberapa kawasan di Kedah dan Langkawi,” kata Ketua Pengarah MetMalaysia, Jailan Simon dipetik laporan Awani.

Pokok tumbang dilapor di Langkawi | Sumber- Awani
Sementara itu, ribut yang hadir berserta hujan lebat yang turut melanda pulau peranginan Langkawi mencetuskan keadaan kucar kacir.

Beberapa buah rumah dilapor rosak dengan terdapat pokok tumbang yang menghalang lalu-lintas serta menyebabkan beberapa kenderaan rosak.

Kejadian itu juga menyebabkan beberapa kawasan sekitar negeri Kedah, Perlis dan Pulau Pinang terputus bekalan elektrik sejak jam 8.45 malam Jumaat.

Post a Comment

0 Comments