MotoGP : Marquez padam rekod Doohan



JUARA dunia MotoGP, Marc Marquez sekali lagi mencipta rekod terbaik dalam kariernya.

Penunggang Honda itu akan bermula sekali lagi di petak hadapan dalam perlumbaan Grand Prix Austria, hari ini.

Bukan itu sahaja, pelumba yang menjuarai perlumbaan di republik Czech minggu lalu itu kini pemegang rekod ‘pole position’ terbanyak sepanjang masa mengatasi rekod lagenda dan bekas juara dunia lima kali dari Australia, Mick Doohan.

Pada sesi kelayakan semalam, Marquez mencatatkan masa satu minit 23.027 di litar itu yang juga rekod masa sepusingan terpantas di litar Red Bull Spielberg.

Pelumba dari Spanyol itu berada 0.434s lebih pantas dari pelumba Perancis, Fabio Quartararo yang menunggang jentera Petronas Yamaha.

Pelumba Itali, Andrea Dovizioso yang juga pencabar terdekat Marquez melengkapkan petak depan untuk Ducati.

Sementara itu, Pelumba handalan Itali, Valentino Rossi akan bermula di petak ke-10 untuk Yamaha.

Pelumba negara, Hafiz Syahrin yang masih terus bergelut dengan jentera pula akan bermula di petak ke-20 disamping pelumba ujian Honda dari Jerman, Stefan Bradl yang berada di petak ke-21 dan terakhir.

Post a Comment

0 Comments