SELEPAS gempa bumi sederhana kuat menggegar pusat pelancongan Bali beberapa minggu lalu, benca alam itu dilapor berlaku lagi pagi tadi.
Kejadian terbaru itu dilapor telah menggegar Pulau Sumatera, Indonesia ketika penduduk tempatan sedang bersiap menyambut perayaan Aidiladha.
Gempa berukuran 5.3 pada skala Richter itu berlaku jam 9.11 pagi waktu Indonesia barat, dan dilapor berpusat di 7.36 LS, 102.76 BT atau 230 km Tenggara Pulau Enggano, Bengkulu.
Sebelumnya, gempa dengan gegaran ukuran serupa dicatat berlaku pada jam 4.11 pagi dan berpusat di km93 barat daya Pariaman-Sumatera Barat.
Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika Indonesia (BMKG) melaporkan kedua-dua gempa itu tidak berpotensi mencetuskan tsunami.
Gempa tersebut juga dilapor turut menggegarkan kawasan pelancongan terletak di Padang, Bukit Tinggi, Mentawai dan Pesisir Selatan.
Setakat ini tiada laporan kerosakan harta benda dan kemalangan jiwa.
Pada Julai lalu, tiga gegaran berukuran sehingga 5.1 pada skala Ricter direkodkan di Bali ketika penduduknya sedang menyambut perayaan Galungan iaitu sambutan kemenangan menentang kejahatan
BACA: Bali digegar 3 gempa
Dalam kejadian itu, seorang lelaki berusia 43 tahun bertempiaran lari tanpa pakaian ketika gegaran bermula kerana terkejut.
”Aku kate adus, wis bugil. Bahaya tenan gempa, mlayu (Saya mau mandi, sudah bogel. Sungguh bahaya gempa, lari),” kata individu itu dipetik laporan Liputan6.
Difahamkan, beliau sebelumnya berada di bilik air untuk bersiap ke tempat kerja.
0 Comments