Maza selar sikap suka kafirkan orang




SIKAP segelintir individu yang terlalu mudah menghukum pihak lain dengan gelaran yang memberi gambaran seolah-olah mereka sebagai anti agama dikirik Mufti negeri Perlis.

Melalui satu kenyataan di laman facebook, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, Malaysia memerlukan pendekatan agama yang lebih moderat dan progresif bagi menangani isu-isu muktahir ini.

"Golongan yang terlalu mudah menghukum orang lain kelihatan menguasai suasana masyarakat.

“Hukuman mereka itu kebanyakannya atas sikap ekstrem, prajudis, kurang pengetahuan dan tidak terdedah kepada kepelbagaian disiplin ilmu,” katanya.

Kenyataan Maza itu merujuk tuduhan keterlaluan pihak tertentu antaranya dalam isu perobohan replika ‘rehal’ di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) baru-baru ini yang mencetuskan polimik.

“Saya terlibat sebagai anggota DBP. Dalam mesyuarat kami telah dimaklumkan replika itu hendak diturunkan atas faktor keselamatan. Tiba-tiba mereka jadikan ia sebagai isu agama, padahal ia tidak mewakili agama.

“Tulisan jawi juga demikian. Saya menyokong atas dasar warisan. Namun, ada pihak mengangkatnya sebagai isu agama,” tegasnya lagi.

Melalui kenyataannya, Maza turut mengingatkan bahawa isu-isu yang bangkit dinegara ini terutama yang berkaitan seni dan budaya memerlukan dimensi dan penelitian yang lebih luas dan bersikap terbuka.

Malangnya menurut Maza, ia cuba disempitkan dengan sentimen pemikiran agama tanpa penelitian yang seimbang.

“Inilah yang sering terjadi. Sikap fanatik kepada kumpulan atau pertubuhan atau pemimpin tertentu turut menjadi sebab kepada perlakuan extrim tersebut.

“Mereka jadikan aliran atau kumpulan mereka mengambil tempat agama. Hanya sedikit salah sangka atau pandangan yang tidak seiras dengan kumpulan atau aliran mereka, terus dihukum sebagai anti-Islam, musuh Allah, anti penegakan syariah, tidak mahu menegakkan hukum Allah ,”tambahnya lagi.

Post a Comment

0 Comments