ARRC: Pelumba M’sia cemerlang di Zhuhai



PELUMBA pasukan Honda Asia Dream Racing with SHOWA, Md Zaqhwan Zaidi mempamer tunggangan cemerlang di Litar Antarabangsa Zhuhai (ZIC) China.

Pada pusingan kelima Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) FIM yang berlangsung semalam, pelumba negara itu meraih juara dalam perlumbaan 1 kelas Asia Superbike (ASB1000) dengan catatan masa 20:38.147 saat (s).

Pencapaian itu sekaligus meletakkan Zaqhwan di kedudukan kedua kejuaraan saingan elit itu dengan 140 mata, hanya ketinggalan 23 mata dibelakang pendahulu Broc Parkes yang menunggang untuk pasukan YAMAHA Racing Team ASEAN.

Pada perlumbaan itu, pencabar utamanya Yuki Ito (Yamaha Racing Team ASEAN) beberapa kali cuba mengasak Zaqwan tetapi pelumba negara itu terus memecut dengan kosisten sehingga habis perlumbaan.

Ito terpaksa berpuas hati di kedudukan kedua manakala tempat ketiga menjadi milik Thitipong Warokom yang menunggang untuk Kawasaki Thailand Racing Team.

“Sebaik berjaya menjarakkan diri di hadapan pelumba lain, saya sudah berasa semakin selesa dan yakin untuk menang

“Sasaran saya hanya untuk menang dan impian itu menaikkan semangat untuk menampilkan gaya tunggangan yang sempurna,” kata Zaqwan.

Sementara itu dalam saingan Super Sport (SS600), bekas pelumba moto 3 negara, Muhamad Adam Mohd Norrodin muncul juara perlumbaan 1 dengan dengan catatan keseluruhan 19 minit 38.917 saat.

Rakan Adam dalam Program Pembangunan Bakat Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Kasma Daniel Kasmayudin (Hong Leong YAMAHA Malaysia) sekadar meraih penamat kedua apabila hanya ketinggalan 0.067s.

Selepas Zhuhai, Pusingan 6 musim dijadual kembali menjengah SIC pada 19 hingga 22 September ini sebelum Litar Antarabangsa Chang, Thailand menjadi lokasi penutup tirai 2019, 29 November hingga 1 Disember nanti.

Post a Comment

0 Comments