KERAJAAN negeri Selangor mempertimbangkan cadangan meningkatkan gaji kakitangan di pusat khidmat masyarakat (PKM) di seluruh Selangor.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, antara faktor yang diambil kira bagi cadangan berkenaan ialah pertambahan beban tugas kepada pegawai di pusat berkenaan susulan pengumuman inisiatif baharu oleh pentadbirannya.
Langkah itu juga jelasnya selaras pengumuman pelarasan gaji yang diumumkan Kerajaan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Perkara ini sedang kita pertimbangkan dan akan dikongsikan dengan semua Ahli Dewan Undangan Negeri pada akhir tahun ini," katanya di Dewan Undangan Negeri Selangor pada Rabu.
Beliau sebelumnya menjawab pertanyaan ADUN Sungai Pelek Lwi Kian Keong yang ingin tahu adakah kerajaan negeri berhasrat menaikkan elaun atau gaji bagi pegawai yang berkhidmat di PKM .
Sementara itu Amirudin turut memaklumkan isu penambahan kakitangan di PKM dijangka dapat diselesaikan selewat-lewatnya Jun tahun hadapan.
Kerajaan negeri jelasnya sedia mempertimbangkan penambahan kakitangan mengambil kira beban tugas yang terpaksa ditanggung mereka berdasarkan program-program sedia ada termasuk inisiatif baharu yang diperkenalkan menerusi Belanjawan 2025.
0 Comments