KEADILAN wujud platform adu kenaikan caj perubatan swasta

SATU inisiatif bagi mengumpul maklumat atau aduan daripada orang ramai mengenai caj hospital swasta dan insurans perubatan yang melambung sudah dimulakan sekumpulan Ahli Parlimen KEADILAN.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin yang juga jurucakap bagi kumpulan itu berkata, pihaknya akan meneliti segala aduan yang diterima untuk mencari cadangan penyelesaian kepada kerajaan.

“Jika caj hospital swasta melambung tinggi, ini akan menyebabkan golongan M40 yang mampu menanggung bil hospital menjadi tidak mampu.

“Mereka akan pergi ke hospital dan klinik kerajaan. Hospital kerajaan akan dibebankan dengan pesakit yang semakin bertambah dan kesesakan tersebut.

"Ini pula akan menjejaskan peluang golongan B40 mendapat rawatan di hospital,” katanya menerusi sidang akhbar di Pusat Media Parlimen pada Rabu.

Ogos lalu Eksekutif tertinggi sebuah pertubuhan syarikat-syarikat insurans membangkitkan kebimbangannya terhadap dakwaan caj tidak masuk akal  dikenakan oleh hospital swasta.

Ketua eksekutif Persatuan Insurans Hayat Malaysia (Liam) Mark O'Dell mendakwa menerima bil hampir RM19,000  selepas menjalani "prosedur mudah" dan menginap semalaman itu di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.

Minggu lalu, Tze Tzin mengeluarkan gesaan supaya Kementerian Kesihatan (KKM) meneliti semula mekanisme kawalan caj hospital swasta.

Tegasnya, walaupun prosedur perubatan dikawal oleh Akta Fi tetapi tiada kawalan bagi caj-caj lain.

"Apabila kita masuk hospital, soalan pertama yang ditanyakan sama ada kita ada insurans atau tidak. Golongan yang mempunyai insurans akan dicaj tinggi tetapi mereka memang tidak ada pilihan," katanya.

Justeru beliau menggesa orang ramai yang mempunyai kebimbangan serupa menghantar aduan melalui e-mel aduan.pkr.hospital.insurans@gmail.com.
n.

Post a Comment

0 Comments