PM Anwar bertemu Syeikh Ali Jum'ah, bincang usaha tingkat penghayatan Islam

PERDANA MENTERI Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan undangan kepada tokoh ulama Syeikh Prof Ali Jum'ah untuk ke Malaysia bagi meneruskan kesinambungan pengajaran turath Islami yang digerakkan kerajaan.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya Anwar berkata, undangan kepada bekas Mufti Mesir itu seiring dengan penganjuran Majlis Sama' Hadis Shahih Bukhari yang kini sedang berlangsung di Putrajaya.

"Maudu' perbincangan berkisar ikhtiar kerajaan MADANI untuk terus meningkatkan kefahaman dan penghayatan Islam yang syumul melalui pengajian tradisi turath, dan penterjemahan karya-karya ilmiah di khalayak masyarakat," kata beliau menerusi hantaran di laman Facebook.

Anwar mengadakan pertemuan dengan Ali yang juga Ketua Lajnah Agama dan Wakaf di Parlimen Mesir, sejurus tiba dari Riyadh, Arab Saudi bagi menghadiri Sidang Kemuncak Negara Arab-Islam.

Kehadiran Perdana Menteri ke sidang kemuncak itu adalah untuk menyuarakan pandangan dan membawa mandat rakyat Malaysia mengenai kekejaman berterusan serta isu kemanusiaan yang berpunca daripada tindakan rejim Zionis Israel di Palestin dan Lubnan.

Anwar kembali ke Kaherah untuk meneruskan lawatan rasmi empat harinya ke Mesir, yang bermula Sabtu lalu sebelum di jadualkan  memulakan lawatan rasmi ke Peru bagi menghadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC.

Post a Comment

0 Comments