KERAJAAN komited meneruskan pelaksanaan program Menu Rahmah supaya memastikan manfaatnya dapat terus dinikmati golongan sasar.
Bagaimanapun Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali di Dewan Rakyat pada Selasa berkata kerajaan sedang mempertimbangkan beberapa langkah bagi memastikan peniaga dapat terus menawarkan Menu Rahmah termasuk dengan memfokuskan inisiatif itu hanya di lokasi tertentu.
“Kita komited untuk memastikan Menu Rahmah terus ditawarkan secara bersasar, atas sebab itu kita sedang rundingkan tanpa melibatkan bantuan secara langsung dalam konteks subsidi secara langsung kepada peniaga tersebut,” katanya ketika sesi penggulangan Rang Undang-undang Perbekalan 2025 di peringkat dasar.
Tambah Armizan, pihaknya akan membuat pemprofilan di kawasan bersesuaian seperti perumahan kos rendah dan golongan B40 serta berhampiran kilang bagi melihat kesesuaian bagi program itu.
Program Menu Rahmah adalah inisiatif baru KPDN bersama rakan strategik yang terdiri daripada pengusaha kedai makan (bermasak) dan Persatuan Pengusaha Restoran Dan Gerai Makanan.
Diperkenalkan bekas Menteri KPDN, Allahyarham Salahuddin Ayub, Ia sebagai sebahagian usaha kerajaan membantu dan mengurangkan kos sara hidup terutama Golongan Miskin Tegar di kalangan B40.
Biasanya hidangan dalam Menu Rahmah ini mengandungi satu sumber protin samada ayam atau ikan dan satu jenis sayur yang ditawarkan dengan harga tidak melebihi RM5.00 bagi satu hidangan.
Sementara itu menurut Armizan, dalam usaha kerajaan menyokong peniaga untuk terus menawarkan Menu Rahmah, peniaga yang konsisten akan dibenarkan membeli barangan perniagaan dengan kadar yang banyak dalam Program Jualan Rahmah Madani (PJRM).
"Kita pertimbangkan untuk memberi ruang kepada peniaga Menu Rahmah di kawasan bersasar ini untuk diberikan akses dapat membeli barangan dalam kadar lebih banyak dalam program-program PJRM.
"Tetapi dia (perlu) melalui beberapa kriteria khususnya konsistensi peniaga ini menawarkan Menu Rahmah, kita berbalik kepada asasnya bahawa Menu Rahmah ini adalah satu program tanpa peruntukan daripada kerajaan," tambahnya.
0 Comments