PIMPINAN tertinggi pentadbiran sekolah diingatkan supaya tidak menyembunyikan sebarang kes berkaitan buli yang berlaku dalam kalangan murid atau pelajar.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pada Khamis menegaskan, pihaknya akan memastikan tindakan tegas diambil terhadap pentadbir sekolah yang melakukan tindakan tersebut.
"Kita ada terima laporan (berkenaan pimpinan tertinggi menyembunyikan kes buli di sekolah) dan kita tidak melihat ia sebagai satu perkara yang perlu disembunyikan.
"Kita akan ambil tindakan tegas kerana kita tidak mahu pihak sekolah tidak mematuhi garis panduan.
"Garis panduan ini sudah pun kita tegaskan berulang kali dan mereka perlu mengikut semua proses itu supaya keadilan dan siasatan dapat dilaksanakan dengan telus," tegasnya
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan program Gerakan Kepimpinan Madani: Hentikan Buli bertempat di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lok Yuk Likas, di Kota Kinabalu pada Khamis.
Sementara itu Fadhlina menyatakan keyakinan isu buli mampu ditangani sekiranya garis panduan dan juga prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dipatuhi semua pihak.
"Ini khususnya dalam konteks membabitkan semua pihak termasuk ibu bapa, jawatankuasa dan juga muafakat kita,
"Maknanya, dari segi kepercayaan anak-anak (murid dan pelajar) kepada kita bahawa sekolah adalah tempat selamat.
"Itu yang penting supaya mereka dapat ke sekolah dengan selamat dan urusan psikososial, kesihatan mental mereka dapat kita tangani dengan segera khususnya apabila mereka terbabit dengan kejadian buli ini," tambah Ahli Parlimen Nibong Tebal itu.
0 Comments