KERAJAAN akan menawarkan skim sewa untuk beli (RTO) membabitkan Program Residensi Rakyat (PRR) yang bakal dilancarkan tahun depan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, skim merupakan usaha proaktif kementeriannya untuk menggalakkan pemilikan rumah secara berperingkat dengan menawarkannya kepada pemohon atau bakal pembeli yang gagal mendapatkan pembiayaan daripada mana-mana institusi kewangan,
"Melalui skim ini, ia juga membuka ruang untuk golongan muda yang baru bekerja memiliki rumah dengan cara menyewa dalam tempoh masa tertentu dan kemudian boleh memilih membeli rumah berkenaan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat jawatankuasa bagi KPKT di Dewan Rakyat pada Selasa.
Mengulas lanjut beliau menjelaskan, beberapa inisiatif turut diperkenal kerajaan bagi memastikan rakyat dapat memiliki kediaman sendiri.
Antaranya, KPKT menyediakan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dengan kerajaan memberi jaminan had pembiayaan hingga RM500,000 bagi pembelian rumah pertama untuk rakyat tanpa pendapatan tetap serta berpendapatan rendah dan sederhana.
"Selain itu melalui Kempen Pemilikan Rumah 2.0, pengecualian diberikan untuk duti setem ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pembiayaan untuk pembeli rumah pertama bernilai RM500,000 ke bawah," jelasnya.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan beliau memberitahu, kementeriannya komited dalam memastikan kesejahteraan rakyat dengan pembinaan baharu dan baik pulih 5,000 unit rumah sejak 2023 melibatkan peruntukan lebih RM91 juta.
"Bagi tahun 2025, Kerajaan MADANI akan memperuntukkan hampir RM60 juta untuk tujuan baik pulih rumah usang dan daif serta membina rumah baharu bagi mengatasi kemiskinan bandar.
"Melalui visi Shelter for All, KPKT bersama agensi seperti Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) giat merealisasikan usaha itu bagi golongan memerlukan," katanya menerusi satu kenyataan.
0 Comments