313 mangsa terjejas banjir di Melaka terima sumbangan PM Anwar

PERDANA MENTERI Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan khas berjumlah RM82,400 kepada 313 mangsa banjir di negeri Melaka.

Sumbangan diserahkan oleh Setiausaha Politik Kanan beliau, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin kepada penduduk sekitar Taman Rambai Jaya, Taman Rambai Utama, Kampung Bukit Datuk A dan Kampung Pantai Kundur yang dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS) susulan banjir minggu lepas.

"Perdana Menteri dan kerajaan sangat prihatin terhadap mereka yang diuji musibah ini dan sumbangan ini diharap dapat meringankan beban mereka," kata Shamsul Iskandar selepas majlis penyerahan sumbangan itu yang diadakan di Tanjung Minyak pada Selasa.

Hadir sama Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin serta Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Kundor Tuminah Kadi.

Sementara itu Shamsul Iskandar berkata, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Melaka akan sedaya upaya membantu mereka yang terjejas akibat bencana ini

Sehubungan itu satu pendekatan komprehensif  merangkumi kerja-kerja menyelenggara dan menyelesaikan masalah perparitan serta longkang bagi mengatasi masalah banjir akan dilaksana melalui peruntukan yang diumumkan Perdana Menteri pada Belanjawan 2025.
 
"Di samping itu kita sedia maklum pada masa ini musim tengkujuh... banyak tempat dilanda banjir.

"Saya ingin menyampaikan pesan kepada rakyat sekiranya terjejas banjir, patuhi arahan agensi keselamatan kerana ada yang tidak mahu berpindah yang akan menyukarkan lagi kerja pihak keselamatan," katanya.

Post a Comment

0 Comments