PM Anwar zahir takziah kepada keluarga mangsa nahas UiTM Dungun


INSIDEN mengorbankan tiga pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun pada Rabu mendapat perhatian Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui satu hantaran di media sosialnya menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa susulan kemalangan yang sangat menyayat hati itu.

"Saya sendiri terkesan akan kejadian ini. Semoga keluarga tabah hadapi dugaan ini dan mendapat keadilan yang sewajarnya," katanya melalui hantaran tersebut .

Dalam kejadian di Jalan Pantai Sura, Dungun itu, sebuah Honda CRV dipandu seorang wanita merempuh dua motosikal yang ditunggang semua mangsa dari arah belakang.

Rempuhan itu menyebabkan ketiga-ketiga mangsa, Ku Adib Aizab Ku Azmi, 20; Khairil Anwar Jamaludin, 20, dan Muhammad Akhmal Md Tukirin, 25, maut di tempat kejadian, manakala seorang rakan mereka, Muhammad Ammar Danish Mohamad Ridhuan, 20, cedera pada bahagian belakang dan dirawat di Hospital Dungun.

Ketika kejadian, semua mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke kampus selepas makan malam di sebuah kedai tidak jauh dari tempat kejadian.

Susulan kemalangan itu pemandu wanita yang dipercayai menunjukkan tanda masalah mental dibawa ke balai polis untuk dirakam keterangan dan kemudian dikenakan perintah reman.

Dalam perkembangan berkaitan,  Kementerian Kesihatan (KKM) menyatakan kesediaan bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan berhubung kes kemalangan tersebit.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pihaknya sedia membantu dari segi kepakaran yang diperlukan kepada pihak berkuasa terbabit.

"Kita sedia membantu dari aspek pandangan teknikal dan perubatan berdasarkan bukti dalam siasatan yang dijalankan pihak berkuasa," katanya dalam satu sidang media

Post a Comment

0 Comments