NRES sedang giat membangunkan Sistem Pengkreditan Karbon Kebangsaan


KEMENTERIAN  Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sedang giat membangunkan Sistem Pengkreditan Karbon Kebangsaan di bawah program Forest Carbon Offset (FCO) melalui melalui Malaysia Forest Fund (MFF) .

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata,  instrumen berasaskan pasaran itu akan membolehkan manfaat yang terhasil melalui program pemuliharaan dan perlindungan hutan dipindahkan kepada pembeli, sama ada syarikat, organisasi atau individu.
 
"MFF telah memulakan tugasnya dalam merumuskan garis panduan dan peraturan untuk FCO, dan tidak lama lagi akan membangunkan metodologi terpilih termasuk REDD Plus, Pengurusan Hutan yang Diperbaiki (IFM) dan Penanaman Hutan, Penghutanan Semula dan Penanaman Semula (ARR).

"Dengan menyepadukan penyelesaian berasaskan alam semula jadi ke dalam rangka kerja pasaran karbon kami, kami berhasrat untuk mengukuhkan sumbangan kami kepada kedua-dua perlindungan alam sekitar dan pengurangan iklim, sambil mencipta nilai ekonomi yang mampan," katanya.

Nik Nazmi berkata begitu dalam ucapan perasmian ASEAN Carbon Forum 2024: Development of Crediting Programme and Carbon Project (ACF2024) di Kuala Lumpur pada Rabu.

Penganjuran ACF2024 bertujuan memudah cara dan menggalakkan wacana dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN berhubung usaha-usaha ke arah pembangunan sistem pengkreditan karbon serta ekosistem pasaran karbon yang kondusif di peringkat serantau.

Dalam pada itu, Nik Nazmi menggesa kerjasama yang lebih erat antara negara anggota ASEAN untuk menangani isu perubahan iklim, terutama dengan kedudukannya yang semakin terdedah dengan perubahan cuaca ekstrem.

Malaysia yang bakal mengambil alih tugas sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan tegasnya akan terus komited untuk memupuk kerjasama yang lebih erat di seluruh rantau ini  dalam memacu agenda tindakan iklim dan menyokong usaha kemampanan yang sejajar dengan hasrat sifar bersih global.

 

Post a Comment

0 Comments