KPKM mulakan langkah reformasi perkhidmatan awam - Mohamad Sabu

KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM)  akan melaksana rombakan strategi dalam usahanya menangani isu kekurangan beras putih tempatan

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, bagi tujuan itu kementerian akan melaksana beberapa langkah termasuk pengasingan kuasa membabitkan beberapa agensi.

“Pengasingan kuasa ini bagi tujuan tindakan penguatkuasaan membabitkan Bahagian Pembangunan Industri Padi (PIP), Kawalselia Padi Beras (KPB) dan wakil kerajaan dalam Padi Beras Nasional (BERNAS)," katanya pada ucapan di  perhimpunan bulanan kementerian itu di Putrajaya pada Rabu.

Selain itu tambahnya, kerajaan juga akan turut memperkenalkan Peraturan Melarang Campuran Beras Putih Tempatan dengan beras putih import dan pekeliling mengenainya akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Sementara itu dalam ucapannya Mohamad Sabu turut memaklumkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji Kadar Sara Diri (SSR) Daging akan dibentuk bagi menangani kekurangan bekalan makanan berkenaan.

Jawatankuasa terbabit jelasnya akan diketuai Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Seri Isham Ishak.

"SSR daging masih di tahap bawah 20 peratus dan bagi memastikan perancangan mencukupkan bekalan daging seperti dirancang dalam Dasar Agromakanan

Negara 2021-2030 (DAN 2.0), satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi melihat perkara ini," tambah beliau.

Pada himpunan tersebut beliau turut memaklumkan tujuh agensi penguat kuasa di bawah kementerian itu akan digabungkan bagi memperkukuh kawal selia sektor agromakanan.

Tujuh agensi terlibat ialah Kawalselia Padi dan Beras (KPB); Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS); Jabatan Pertanian Malaysia (DOA); Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS); Jabatan Perikanan Malaysia (DOF); Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Penggabungan tujuh agensi penguatkuasaan itu melibatkan keseluruhan 2,030 anggota penguatkuasa dan 14 akta.

"Cadangan mengenai langkah reformasi perkhidmatan awam itu akan dibawa untuk perhatian Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam satu mesyuarat pada 1 Nov ini," jelas Mohamad Sabu.

Post a Comment

0 Comments